Cerita Kita

Kawan-kawan,
Ingatkah tanggal kita jejak Bukit Merbah
Dengan hati penuh gundah, penuh resah
Kerana dalam helaian hidup kita pada hari itu, di bumi itu,
Terbukalah satu lembaran baru
Kawan-kawan,
Ingatkah tika ayah bonda melambai pergi
Dan kita ditinggalkan mencari identiti
Cuba menyelami hati budi
Insan-insan asing yang tidak kita kenali
Kawanku,
Masihkah kita ingat hari-hari mencari pelangi
Kadangkala kita ketemu tragedi
Ada hari kita bersama tertawa
Ada hari kita sendirian bersendu duka
Ada saat kita suka dan disukai
Ada waktu kita melukakan dan dilukai
Kerana dalam usia muda
Kadangkala kita tidak kenal erti hidup bersaudara
Namun kawanku,
Lima tahun bersama ajar kita makna cinta
Pada sahabat yang lebih akrab daripada saudara seibu sebapa
Kita lebih mengerti hati dan budi insan seangkatan
Kita makin faham keluh kesah seorang rakan
Ketawa kita seiringan
Tangisan kita seperjuangan
Dan memang kita dewasa dalam pingitan
Tetapi kita temui suatu kehidupan
Penuh nilai penuh pengertian
Saudara-saudaraku,
Kini biar dua dekad berlalu
Persis semalam kita bertemu
Dan hari ini kita kembali bersatu
Melunasi dendam rindu yang terbuku
Di hari penuh restu ini
Marilah kita jalin semula kasih yang padu
Mari kita bina memori baru
Dan sebagai tanda syukur yang abadi
Marilah kita panjatkan doa pada Ilahi
Biar rendezvous ini bukan untuk akhir kali.
Noraida Endut
26 April 2006, 5.26 p.m.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home