Cerita Kita 2
Kawan-kawan,
Kita ketemu lagi,
Bukan hanya di jasad dan mata,
Tapi jua di hati nurani,
Persahabatan kita ini tidak mengenal jurang fizikal
Kerana ia tertambat jauh di sudut kalbu yang suci.
Kawan-kawan,
Pernahkah kita terfikir saat dulu,
Bertemu dalam sunti,
Usia manusiawi belum kenal kendiri,
Tapi kita sudah perlu mengerti,
Tanpa ibu ayah bersama di sisi,
Kita sesama mengisi kekuatan mecari hala
Cabaran hidup remaja
Kawanku,
Kita bersama seperlapan usia,
Kita bersaudara sehayat yang ada,
Empat belas, empat puluh, hanya angka,
Sahabat sezaman di hati sentiasa.
Duhai sahabat sezaman,
Kita bertemu berpandang mata, berlapang dada,
Yang tiada bersama, dalam ingatan kita tetap serupa,
Yang pergi tak kembali, usah dilupa walau seketika,
Al-Fatihah usah lekang di bibir untuknya.
Marilah dalam pertemuan ini kita panjatkan,
Syukur yang tawaddhu’ kepada Ilahi,
Kerana dengan kehendak-Nya jua kita bertemu lagi kali ini,
Dan marilah pohon doa pada Yang Esa,
Hari ini penuh makna bahagia
Dan biar berkumpul kita saat ini
Bukan untuk akhir kali.
Noraida Endut
28 April 2009, 1.30 a.m.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home